Talam dua muka: Satu Malaysia, Dua UMNO

Oleh Wong Chin Huat

Desas-desus bahawa PRU-13 bakal diadakan pada pertengahan tahun ini agak kencang sebelum ini. Tetapi, susulan daripada kenaikan harga minyak, gula, elektrik dan sebagainya, kemungkinan ini semakin menipis. Ada yang mengatakan bahawa Najib dan Muhyiddin berbeza pandangan dalam hal ini - Muhyiddin berharap PRU diadakan secepat mungkin, Najib pula mahu menanti peluang dan masa yang lebih baik.

Hujah ini ada asasnya yang objektif pada tahap tertentu. Sokongan pengundi Cina belum kembali ke BN, malah sokongan bumiputera bukan Islam di Malaysia Timur terhadap BN mulai goyah. Seandainya PRU diadakan sekarang, amat sukar untuk BN memperolehi majoriti dua pertiga. Sungguhpun majoriti dua pertiga dimenangi BN, besar kemungkinan ia ditunjangi kerusi UMNO - maka wujudlah sebuah kerajaan yang didominasi sepenuhnya Melayu, dengan bumiputera Malaysia Timur sebagai sampingannya.

Keputusan sebegini memperlihatkan kegagalan Najib dalam garis politik "1Malaysia"-nya, lantas beliau kehilangan modal untuk meneruskan program transformasi ekonominya. Justeru itu, jikapun Najib tidak digulingkan sejurus selepas PRU-13, beliau juga akan menjadi PM yang tempang.

Maka adegan gandingan Mahathir-Muhyiddin untuk menggulingkan Abdullah Ahmad Badawi akan berulang. Perwatakan Mahathir tiada gantiannya, malah Muhyiddin pada ketika itu adalah orang rapat Abdullah pada asalnya. Kini, siapa pula "Muhyiddin" yang baru? Ada yang teka Naib Presiden dengan undi tertinggi, Ahmad Zahid Hamidi yang kini menyandang jawatan Menteri Pertahanan.

UMNO semakin berkocak. Pada tahap tertentu, ia adalah persaingan antara dua garis politik. Pertama, mahukah UMNO mengambil kedudukan pertengahan untuk mengembalikan undi bukan Melayu yang hilang secara mendadak pada tahun 2008? Kedua, mahukah UMNO melaksanakan reformasi ekonomi, untuk mengurangkan defisit kerajaan dan meningkatkan persaingan di antarabangsa? Kedua-dua pendekatan ini bersamaan dengan penafian terhadap dasar dan garis politik UMNO yang lalu - sebagaimana keterbukaan politik secara terhad oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menyinggung sayap kanan dan mereka yang berkepentingan dalam UMNO, termasuk Mahathir Mohamad.

Sesiapa yang berada di kedudukan Najib terpaksa berbuat demikian. Jikalau tidak, pemerintahan UMNO bakal berdepan dengan cabaran dari dalam dan luar, sehingga memberi laluan kepada Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat untuk menjadi pengganti. Namun, siapa-siapa yang tidak berada pada kedudukan Najib tetapi berhasrat untuk memanjat tangga kuasa akan tergoda untuk menarik sokongan sayap kanan dalam UMNO.

Oleh yang demikian, gagasan "1Malaysia" Najib sering terhantuk dalam UMNO - bukan sahaja Muhyiddin secara terang-terang mendakwa dirinya mendahulukan identitinya sebagai Melayu daripada Malaysia, malah sepupu Najib, iaitu Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein juga membela sayap kanan ketika bangkitnya isu demonstrasi kepala lembu dan khabar angin penubuhan"Negara Kristian".

Talam dua muka: Strategi UMNO

Menurut wartawan yang dipecat dari Utusan Malaysia, Hata Wahari, Utusan dikawal secara terus oleh Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO. Oleh itu, pendekatan Utusan yang ektrem bukan kerana sabotaj Muhyiddin, tetapi adalah strategi "talam dua muka" UMNO. Satu mukanya berdepan dengan golongan Melayu sayap kanan, sementara satu lagi ditujukan kepada bukan bumiputera, Melayu yang berada di pertengahan dan pengundi Malaysia Timur.

Comments

Popular posts from this blog

Umno, jangan berlagak seperti Tuhan!

Say no to racist politicians